Saturday, December 3, 2011

Warisan ikan pekasam Lenggong

Ikan pekasam sedap dimakan dengan nasi putih.


JIKA digoreng garing dan dicampurkan dengan sedikit perahan limau, hirisan bawang serta cili, hidangan ikan pekasam pasti membuka selera sesiapa sahaja.

Tambahan pula jika ia dinikmati bersama nasi panas. Keenakannya tentu memberi kepuasan yang tidak terhingga.

Menu ikan pekasam memang popular di kalangan masyarakat Melayu. Tidak kira sama ada dihidangkan ketika makan tengahari mahupun makan malam.

Di sebalik keistimewaan rasanya, penyediaan produk makanan tradisonal itu sebenarnya memerlukan resipi dan kaedah yang bersesuaian.

Di negara kita terdapat ramai peniaga yang menjalankan perusahaan ikan pekasam terutama di kawasan luar bandar.

Namun, hanya segelintir sahaja yang berjaya menghasilkan produk berkualiti dan sedap bagi menarik perhatian pelanggan, seterusnya mampu memperluaskan pasaran ke seluruh negara atau mungkin juga ke peringkat dunia.

Joharabi Muhammad, 35, merupakan antara pengusaha pekasam yang semakin berkembang. Pengalaman berniaga ikan pekasam secara kecil-kecilan selama tiga tahun perusahaan itu.

Katanya, pada mulanya dia hanya mahu mencuba resipi yang diwarisi daripada ibu bagi tujuan berniaga pada skala kecil.

Tetapi, resipi dan perniagaan yang sekadar cuba-cuba itu mendapat sambutan menggalakkan.

"Selain ikan pekasam, saya juga ada menjalankan perniagaan makanan ringan seperti kerepek dan kuih-muih tradisional,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Pekan Kuak, Lenggong, Perak, baru-baru ini.


Mementingkan kualiti
Menyedari ikan pekasam mempunyai permintaan yang tinggi, dia kemudiannya membuat keputusan untuk memberi tumpuan kepada perniagaan ikan pekasam.

Pada tahun 2000, dia membuat pinjaman modal sebanyak RM500 menerusi Amanah Ikhtiar sebelum memohon daripada Mara sebanyak RM35,000.

Dana tersebut telah digunakan untuk membina bangunan bagi kemudahan aktiviti memproses selain membeli peralatan yang bersesuaian.

Bagi membantu kos pengeluaran dan membeli bahan mentah pula, dia telah membuat pinjaman daripada Agrobank menerusi skim Modal Usahawan Tani (MUST) sebanyak RM5,000 dan ESP-i sejumlah RM20,000.

Menerusi penjenamaan Pekasam Warisan Utara, perusahaan makanan itu telah dijalankan di bawah syarikat miliknya, Johar Food Enterprise.

Antara jenis ikan yang digunakan untuk membuat pekasam adalah seperti lampam, tilapia, puyu, sepat, jelawat dan loma.

Melihat kepada proses penyediaannya pula, ikan-ikan tersebut akan disiang dan dibersihkan terlebih dahulu sebelum diperap bersama ketulan garam kasar selama tiga hingga lima bulan.

"Paling cepat proses pemerapan itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu.

"Proses ini bertujuan untuk memastikan ikan sebati dengan garam selain melembutkan dagingnya,'' jelasnya yang menjadikan suami dan ibu bapa sebagai pendorong.

Ikan yang telah diperap itu kemudiannya akan disalut dengan serbuk beras yang telah di goreng dan dikisar.

Proses pemerapannya selepas itu diteruskan lagi selama lebih kurang dua minggu.

Ikan-ikan yang telah siap menjalani kesemua proses tersebut akan dibungkus dalam plastik secara vakum.

Setakat ini, dia mempunyai seramai empat pekerja untuk membantunya selain mengambil pekerja secara kontrak apabila permintaan meningkat.

Bagi sumber bahan mentah, ibu kepada empat cahaya mata itu memberitahu dia memperolehi ikan mentah daripada pengusaha di sekitar kawasan tempat tinggalnya.

"Sumber ikan ini diperolehi secara bermusim kerana mengikut keadaan cuaca. Kadang kala berlaku juga masalah kekurangan bekalan.

"Jadi untuk mengelakkan masalah ini, saya biasanya akan membeli lebih banyak bekalan sebagai stok terutama pada musim perayaan,'' katanya yang lebih gemar memilih sumber ikan liar berbanding ikan belaan.

Dari sudut pasaran, produk Pekasam Warisan Utara telah diedarkan ke beberapa bandar utama sekitar Kuala Lumpur, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Lebih membanggakan, ia juga telah diperluaskan ke luar negara iaitu di Brunei dan China selain mempunyai pelanggan tetap daripada pengusaha Restoran Tasik Raban di Perak.

"Kebanyakan pelanggan menggemari produk ini kerana keunikan rasa masin dan masamnya dengan daging yang lembut sehingga ke tulang.

Kita amat mementingkan kualiti agar para pelanggan berpuas hati dengan produk yang dikeluarkan,'' katanya.

Setiap hari, dia mampu menyediakan 400 hingga 500 paket ikan pekasam dengan keuntungan RM300 hingga RM400 sehari.

Sepaket ikan pekasam biasanya dijual dalam lingkungan harga RM2.80 hingga RM3.50 bergantung kepada berat dan saiz ikan.

Kejayaan yang ditunjukkan oleh Joharabi dalam perniagaannya telah mendorong Jabatan Perikanan melantiknya sebagai Usahawan Anak Angkat Perikanan.

Selain itu, dia turut mengikuti beberapa kursus keusahawanan dan pemprosesan anjuran Agrobank, Jabatan Pertanian, Kemajuan Masyarakat (Kemas) serta Majlis Daerah Lenggong.

Malah, bermula tahun lalu, pusat penyediaan ikan pekasamnya juga telah dijadikan sebagai destinasi pelancongan dalam kalendar program Inap Desa Kampung Bing, Lenggong, Perak.

Di samping itu, dia turut menerima lawatan daripada pelatih-pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selain para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan untuk menjalankan kajian dan penyelidikan.

Pada masa hadapan, dia bercadang mencuba ikan laut seperti gelama untuk dijadikan pekasam selain mencari sumber bekalan bahan mentah yang lebih banyak bagi memenuhi permintaan.

Bagi yang berminat untuk membeli atau membuat tempahan, sila hubungi talian 03-7512130, 012-5894710 atau 013-5812441.

Pilih pertanian meskipun ada tiga ijazah sarjana

 
Azizuzanadi Zainuddin memangku dua ekor anak kambing biri-biri baka Australia. -Foto BERNAMA
KETIKA penulis tiba di kediamannya di Kampung Hayat, Simpang Pelangai, terletak kira-kira 46 km dari Bentong, beliau sedang bertukang di kandang kambingnya.
“Beginilah kalau kerja sendirian, semua kena buat sendiri,” kata Azizuzanadi Zainuddin, 39, sambil mengetuk papan untuk dijadikan bekas makanan kambing-kambing baka Feral dari Australia.
Berbanding kambing lain yang begitu riuh mengembek, kambing-kambing Australia ini berkumpul di satu sudut ketika Azizuzanadi atau lebih mesra dengan panggilan Among, membuat kerja tukangannya.
“Kambing-kambing Australia ini baru saya dapat beberapa hari lalu, mungkin mereka tak biasa lagi dengan kandang ini, itu sebab mereka diam sahaja,” kata Among berseloroh.
Kandang kambing dua tingkat itu siap dibina Mac 2008. Kos membina kandang mencecah RM90,000 dan sebahagian besar wang diperoleh daripada pinjaman Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) dan bantuan PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan Pelangai).
Di bahagian bawah kandang terdapat stor menyimpan makanan, peralatan dan keperluan.
Di lantai bawah itu juga Hadi membakar rumput kering yang menghasilkan asap untuk menghalau agas dan nyamuk.
Tahi kambing turut dikumpul di lantai bawah dan dibakar untuk dijadikan baja.
Di bahagian atas terdapat beberapa petak kandang yang mengasingkan kambing ternakan mengikut jenis, saiz dan umur.

PENDIDIKAN TINGGI
Mendengar sketsa liku-liku kehidupan penternak muda ini, anak seorang pesara tentera, menunjukkan beliau bukan calang-calang orangnya dari segi pencapaian akademik.
Beliau bersekolah agama dari peringkat sekolah rendah hingga menengah. Tamat tingkatan lima, beliau memilih menyambung pelajaran di sekolah pondok, Sekolah Agama Rakyat Al-Nadhah, Kota Sarang Semut, Kedah selama dua tahun.
Meskipun mendapat peluang untuk ke Universiti Al Azhar, Hadi memilih untuk ke sekolah Pondok Sungai Jagung, Pendang, Kedah dan belajar selama tiga tahun lagi.
Tamat belajar di sekolah pondok, beliau pulang ke kampung halamannya dan membuat kerja kampung selama dua tahun termasuk menoreh getah di kebun datuk dan neneknya serta menanam pisang.
Meskipun bersekolah agama dan pondok, anak muda ini berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis pada 1992 dalam bidang pengajian perniagaan.

SEMUA BOLEH
Azizuzanadi menunjukkan ikan keli yang dipeliharanya di tiga buah kolah di ladangnya.

Tamat belajar di UiTM, beliau melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat untuk pengajian Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan di Northwood University, Midland, Michigan atas tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Tamat pengajian peringkat ijazah, beliau tidak terus kembali ke tanah air. Anak perantau ini tidak mahu melepaskan peluang menggali pengalaman bekerja di negara asing.
Beliau bukan setakat melakukan dua kerja tetapi juga menyambung pengajian di peringkat sarjana, dengan belanja sendiri, bukan satu tetapi tiga, iaitu Masters in Information System, Masters in International Business dan Masters in Risk Management.
Beliau mengikuti pengajian ketigatiga ijazah sarjana itu di Universiti Concordia, Mequon, Wisconsin.
Tamat pengajian ijazah sarjana, Hadi tinggal beberapa tahun lagi di Amerika dan memulakan perniagaan pengedaran kebanyakannya produk Industri Kecil dan Sederhana (IKs) Malaysia serta produk etnik Asia da Mexico.
“Saya menyewa sebuah gudang di Greendale, Wisconsin untuk perniagaan saya ini. Sambutan untuk produk Malaysia dan Asia memang bagus tetapi yang mengecewakan saya ialah bila saya dapat tawaran membekal sos masam manis dalam kuantiti yang besar untuk Walmart, rangkaian pasaran yang hebat di Amerika, tak ada pihak di tanah air yang sanggup membekalkan saya produk berkenaan,” keluh Among.

USAHAWAN TANI
Setelah hampir 10 tahun di perantauan, Among kembali ke tanah air pada April 2007.
“Kalau makan gaji, kita yang lelah bekerja tetapi orang lain yang mengecap kejayaannya,” jelas beliau.
Among mahu menjadi usahawan dan memilih untuk meneroka bidang pertanian di sebalik tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) dari sebuah institut pengajian tinggi awam tempatan.
“Semasa belajar di Amerika, saya berpeluang melawat banyak ladang lembu dan jagung. Saya juga pernah bekerja sambilan di ladang dan saya melihat sendiri betapa majunya peladang-peladang di negara itu. Saya diberitahu kerajaan mereka banyak membantu dan memasarkan produk yang dihasilkan.
“Sememangnya jika dibandingkan dengan industri pertanian di tanah air, kita masih jauh ketinggalan. Di situlah datang tekad untuk saya jadikan bidang pertanian sebagai karier saya,” jelas Among.
Sekembalinya ke tanah air, Among tidak membuang masa dan mengikuti pelbagai kursus termasuk anjuran Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (Medec), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Perikanan Malaysia.
Antara kursus yang disertainya ialah kursus ternakan ikan dalam sangkar, kursus membuat makanan ternakan, kursus pembenihan ikan, kursus penyakit ternakan kambing dan kursus ternakan kambing peringkat ladang.
“Habis sahaja kursus ternakan ikan, saya buat dulu ternakan kambing pada Disember 2007. Saya beli 20 ekor kambing dari sebuah ladang di Nilai, Negeri Sembilan yang terpaksa gulung tikar. Saya belanja lebih RM5,000 untuk beli kambingkambing ini,” kata Among dengan menambah beliau kemudian membeli 39 ekor lagi kambing dengan kos kira-kira RM15,000.
Pada peringkat awal, Among menempatkan kambingkambingnya di tanah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Lembah Jaya, kirakira 5 km dari rumahnya.
Rutin kerjanya bermula selepas subuh termasuk menyabit rumput untuk makanan kambing-kambingnya.
“Usaha awal saya berjaya, kambing membiak dan gemuk-gemuk. Saya mendapat bantuan emak dan pakcik saya serta adiknya. Cuma bila pindah ke kandang baru, tidak jauh dari kandang asal, kambing banyak mati. Kini saya memindahkan kesemua kambing yang ada di kandang yang baru berhampiran rumah emak saya. Makanan yang diberi sama, mungkin tapak kandang tak serasi,” katanya.

TAK SEMUDAH
Menurut Among, dia hampir berputus asa bila banyak kambing ternakannya mati dan bantuan yang diharapkan daripada jabatan yang berwajib tidak diterima secepat yang diharapkan.
Hasil penat lelahnya, Among kini mempunyai kira-kira 100 ekor kambing daripada pelbagai jenis termasuk kambing biribiri dan kambing Feral dari Australia, kambing Jamnapari dari Indonesia, kambing Katjang (baka kacukan tempatan dan Anglo Nubian) dan kambing Boer.
Beliau juga membuka sebuah ladang di Jelebu, Negeri Sembilan untuk ternakan kambing biri-biri yang kini berjumlah 37 ekor dan dijaga oleh pakciknya.
Menurut Among, hasil jualan kambing dan ikan keli tahun lalu membolehkan beliau membeli sebuah lori untuk kegunaan bisnesnya.

PELBAGAI AKTIVITI
Among kini mengorak langkah mempelbagaikan ternakannya dengan mengusahakan ternakan ikan keli di tanah berhampiran ladang kelapa sawit milik pakciknya.
Beliau bermula dengan 100,000 anak ikan keli yang dipeliharanya di tiga buah kolah batu termasuk sebuah kolam tanah untuk asuhan anak benih sehingga tahap matang.
“Saya ternak ikan keli ini untuk mendapatkan aliran tunai. Sekarang, tiap-tiap hari ikan boleh dijual. Purata dalam sebulan saya boleh dapat antara RM1,000 hingga RM2,000,” katanya sambil berkata, dia juga menjual ikan keli salai dengan harga RM18 sekilo.
Among mempunyai rancangan besar untuk perniagaan ternakannya, cuma kekangan utama ialah aliran wang tunai.
Jadual kerja Among sememangnya padat, bermula sebaik selepas subuh hinggalah tengah malam. Kambing-kambingnya bukan sahaja perlu diberi makan tiga kali sehari tetapi kandang juga perlu dibersihkan.
Di antara kesibukan di kandang kambing, beliau akan menjengah kolam-kolam ikan kelinya yang terletak kirakira 200 meter dari kandang kambingnya.
“Memang banyak kerja yang perlu dibuat. Hujung minggu kerja, Hari Raya pun kerja. Kalau hendak berjaya, mesti belajar dan buat sendiri. Kena tahu apa nak buat kalau kambing sakit, kalau kambing nak beranak, kena ada pengetahuan.
“Saya biasa buat kerja dari peringkat bawah lagi. Semasa di Amerika, saya pernah bekerja dengan sebuah restoran pizza. Saya bermula daripada mencuci lantai dan pinggan sehinggalah saya diberi kepercayaan menjadi pengurus.
“Apa yang saya belajar ialah dalam apa juga pekerjaan, kita mesti handson, kita mesti tahu selokbelok semua kerja, baru kita boleh pergi jauh,” katanya sambil menjelaskan beliau mendapat bantuan ibu dan adiknya jika dia perlu meninggalkan ladang untuk urusan luar.
Isterinya, Zaibedah Zaharum, ialah pensyarah di UiTM, Segamat, Johor.

PELAN LIMA TAHUN
Among mempunyai rancangan besar iaitu mahu menjadikan Pelangai pusat ternakan dan pengeluar kambing utama di negeri Pahang.
Beliau meletakkan sasaran untuk memiliki kira-kira 5,000 ekor kambing dalam masa lima tahun di samping mengumpulkan penternak-penternak kecil di kawasan sekitar di bawah satu konsortium.
Di samping menambah baka kambing yang berkualiti, beliau juga mahu menubuhkan sebuah syarikat perdagangan.
“Saya sudah mengenal pasti seseorang untuk menjadi rakan kongsi bagi tujuan ini. Di bawah syarikat ini, saya rancang nak buat lelongan bukan sahaja ternakan termasuk kambing, lembu atau kerbau tetapi juga hasil pertanian yang lain.
“Syarikat saya akan mengendalikan rumah lelongan ini dan setakat ini, belum ada rumah lelongan di Malaysia. Mungkin lelongan ini kita boleh buat empat kali setahun.
“Kita juga boleh buat jualan secara online (internet),” katanya.

Usahawan Kambing Mara - MJ Fatonah Sdn. Bhd.

Khazali Usahawan Perabot

Khazali usahawan perabot
Oleh SHAH NIZAM OMAR
shahnizam.omar@kosmo.com.my










KHAZALI YAHYA
________________________________________

DIA pernah berhenti sekolah beberapa kali akibat kesusahan yang dialami keluarga. Pengalamannya membanting tulang empat kerat demi mengusahakan sawah padi milik ibu bapanya ketika rakan sebaya yang lain bersekolah tidak pernah disesali.
Memandangkan dirinya tidak berpelajaran tinggi dan hanya tamat tingkatan tiga di Sekolah Menengah Agama Sungai Limau, Yan, Kedah, pada suatu hari seorang kenalan bapanya dari Alor Setar datang ke rumah untuk membawanya bekerja.
Riak gembira terpancar pada wajah Khazali Yahya kerana dia tahu kedatangan kenalan bapanya itu, Pak Omar umpama pembuka rezeki buat dirinya. Azamnya hanya satu iaitu mahu mengubah nasib diri dan keluarga.

Khazali kemudian gigih mempelajari selok-belok pembuatan perabot bersama Pak Omar selama dua tahun sebelum berubah angin bekerja di sebuah kilang di Guar Cempedak selama 10 tahun. Semua itu akhirnya menjadi titik tolak kepadanya untuk membuka sebuah bengkel perabot sendiri dengan nama Khazali Perabot.

Dengan modal permulaan sebanyak RM6,000, pemilik Khazali Perabot, Khazali, 58, boleh berbangga dengan pencapaiannya sekarang setelah menghambakan diri dalam industri perabot selama 23 tahun. Pendapatannya kini mencecah RM1 juta setahun.
Bagaimanapun, Khazali mengakui untuk membina nama dalam industri perabot dan perkayuan bukanlah mudah. Dia mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan bersama isteri tanpa sebarang bantuan.

"Ketika itu, dengan berbekalkan mesin pemotong kayu, saya dan isteri, Rosnah Abdul Razak, 54, bekerja siang dan malam demi meneruskan kehidupan untuk membesarkan lima orang anak.

"Tempahan yang diterima juga amat terhad kerana masih belum mempunyai pelanggan dari luar dan hanya mengharapkan penduduk kampung," katanya.
Berkat kerja keras Khazali, akhirnya pada tahun 1991, namanya mula dikenali terutama dalam kalangan penduduk negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia seperti Perak, Pulau Pinang dan Perlis.










SET perabot dapur dan almari yang dihasilkan syarikat Khazali Perabot di Sungai Limau, Yan, Kedah.
________________________________________

Bantuan agensi kerajaan

Namun begitu, kejayaannya dalam bidang tersebut turut disumbang oleh tunjuk ajar dan bantuan agensi-agensi kerajaan berkaitan.
"Saya pernah mengikuti kursus-kursus anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Ia banyak memberi khidmat nasihat, selain membuat promosi di ekspo-ekspo besar dalam negara dan pemberian bantuan kewangan.

"Saya rasa sangat bersyukur dan berterima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh MTIB. Tanpa pertolongan mereka, saya tidak mampu untuk sampai ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Khazali kini menggaji 20 orang pekerja dan beroperasi di Kampung Kabu 10, Sungai Limau Dalam, Yan. Dia berhasrat untuk menjadikan kesemua pekerjanya sebagai usahawan sama sepertinya.

"Sampai bila nak bekerja makan gaji? Saya rasa semua pekerja di Khazali Perabot mampu pergi jauh. Malah ada antaranya telah pun berjaya membuka bengkel perabot sendiri," jelasnya.
Menyentuh kelebihan yang ada pada Khazali Perabot, katanya, kesemua perabot di situ dibuat mengikut kreativiti sendiri dan paling penting ia mengikut peredaran zaman.
Jelas Khazali lagi, syarikat yang diusahakannya itu membuat perabot berdasarkan tempahan pelanggan.

Biasanya, pelanggan-pelanggan yang ingin membuat tempahan akan datang sendiri ke ruang pameran sebelum perbincangan mengenai harga dan sebagainya dibuat bersama-sama.
Khazali juga akan menghantar kakitangan untuk mengukur bahagian-bahagian rumah seperti yang telah dibincangkan. Setelah siap, syarikat akan menghantar serta memasangnya.

Antara jenis perabot yang dihasilkan ialah almari baju, kabinet dapur, almari perhiasan dan rak-rak serbaguna.
Orang ramai yang ingin membuat tempahan bolehlah menghubungi Khazali di talian 012-4310685 atau faks ke 04-4255639.

Jelajah industri kayu

Dalam perkembangan lain, MTIB telah menganjurkan lawatan pertama kali ke Kedah dengan membawa 32 orang yang terdiri daripada kakitangan MTIB, pihak bank dan pengamal media. Ia bertujuan memperkenalkan industri perkayuan negara yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengarah Perancangan Strategik dan Hal Ehwal Korporat MTIB, Noor Laila Mohamed Halip berkata, lawatan itu diadakan untuk menyampaikan maklumat terkini tentang kemajuan dan prestasi kepelbagaian produk kayu.









DUA pekerja kilang Khazali sedang menyiapkan perabot yang ditempah khas oleh pelanggan.
________________________________________

"Kali ini MTIB memilih Kedah kerana ia mempunyai ramai usahawan dalam bidang perkayuan," katanya ketika ditemui pada Lawatan Mengenal Industri Perkayuan dan Mini Treasure Hunt MTIB bersama wakil media dan institusi kewangan.
Noor Laila turut menyatakan pihaknya menyumbang sebanyak RM40,000 kepada Khazali Perabot dalam bentuk geran yang diberikan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua.
"Biasanya ada dua jenis bantuan yang akan diberikan iaitu dalam bentuk bahan mentah dan mesin. Bagaimanapun, apa juga jenis bantuan yang diberikan dalam bentuk wang, ia tidak dinamakan atas nama pemilik syarikat, tetapi akan diberikan kepada pembekal bahan-bahan yang dibeli oleh syarikat itu," katanya.
Dalam lawatan selama tiga hari bermula 27 hingga 30 Oktober lalu, peserta berpeluang melawat beberapa kilang kayu serta perabot di serata Kedah termasuklah Malaysia Wood Industri Sdn. Bhd. (Sungai Petani), Khazali Perabot (Yan) dan NHL Indah Enterprise di Kodiang.

Institut Memandu IKMP (Perlis) Sdn Bhd

Kecacatan Bukan Penghalang Untuk Berjaya

Petikan ini menceritakan tentang seorang usahawan dari kalangan OKU. Terfikir sejenak mengatahui kegigihannya mencipta nama sebagai salah seorang usahawan yang berjaya di MALAYSIA. Sesuatu pencapaian yang patut semua rakyat MALAYSIA banggakan. Artikel mengenai Tengku Arman (seorang OKU) ini saya ambil dari salah sebuah artikel yang dipaparkan di dalam portal usahawan di mana ianya disediakan oleh Tuan Azam Johan dan Eo Pee See.. Mari kita kongsikan bersama pengalaman ini...
Golongan orang kurang upaya (OKU) kini bukan sahaja mampu menonjolkan kejayaan mereka sebagai penjawat awam malahan dalam bidang keusahawanan.

Golongan ini dilihat begitu gigih serta memiliki kesabaran yang tinggi apabila menceburi satu-satu bidang, seolah-olah kecacatan bukan penghalang untuk mengecapi kejayaan.

Bagi Tengku Arman Harris Tengku Ismail, 36, yang cacat pendengaran, kegigihan dan ketabahannya menjadikan beliau antara usahawan OKU yang berjaya dalam perusahaan membuat batik sutera di Terengganu.

Menceritakan pengalaman sebelum menceburi perusahan berkenaan sejak 10 tahun lepas, beliau mula bekerja sebagai pengimpal di sebuah bengkel kenderaan di Kuala Lumpur pada 1990 selepas menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas di Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Vokasional di Shah Alam, Selangor.

Setahun selepas bekerja di ibu kota, beliau yang merupakan anak sulung daripada enam beradik terpaksa pulang ke Terengganu untuk mengambilalih tugas sebagai ketua keluarga selepas kematian bapanya, yang terkorban dalam nahas jalan raya.

TIMBA ILMU

Mengimbas pengalamannya dalam industri pembuatan batik sutera, Tengku Arman mula bekerja di kilang Romi Batik di Chendering di sini, pada 1991 serta sebuah syarikat batik di Batu Burok, selama beberapa tahun sebelum membuka syarikatnya sendiri.

Menurut ibunya, Wan Zaitun Wan Mansur, 59, semasa bekerja di dua tempat berkenaan, Tengku Arman mempelajari pelbagai cara pembuatan batik sehingga 1996 sebelum membuka sendiri syarikatnya iaitu Arman Batik di rumahnya di Kampung Tebauk di sini.

Zaiton, yang merupakan jurubahasa isyarat anaknya, berkata dengan keazaman untuk berjaya dalam industri tersebut, Tengku Arman mendirikan sebuah bangsal berhampiran rumahnya, dengan mengusahakan pembuatan batik secara kecil-kecilan. Berbekalkan bakat dan kebolehan anaknya, beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu telah memberi bantuan kewangan sebanyak RM2,000 kepada Tengku Arman untuk mengembangkan perusahaannya.

Beliau berkata, setelah perusahaan anaknya itu menampakkan kejayaan, Tengku Arman memohon pinjaman sebanyak RM20,000 daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan perusahaannya bertambah maju sehingga mampu membayar balik pinjaman dalam tempoh yang singkat.

DUA KEDAI BATIK

"Saya rasa puas apabila Tengku Arman dapat menyelesaikan pinjaman Mara dalam tempoh yang singkat kerana ia memberi keyakinan kepada Mara untuk memberi pinjaman kepada golongan sepertinya pada masa akan datang.

"Ini kerana, agak sukar bagi golongan OKU untuk menceburi bidang perniagaan kerana terdapat segelintir masyarakat yang memandang serong terhadap mereka," kata Wan Zaitun.

Tengku Arman berkata selain dibantu isterinya, Azizah Md Yassin, 32, yang juga cacat pendengaran, beliau mempunyai tiga pekerja bagi membantunya mencating kain-kain batik.

Atas usaha gigihnya, Tengku Arman kini boleh berbangga kerana memiliki dua buah kedai batik sutera iaitu "Anas Butik" di Subang Jaya, yang diurus oleh diknya. Katanya, beliau menghasilkan kain-kain batik sutera dengan dua kaedah iaitu melalui blok serta mencating dan ia dijual antara RM200 dan RM400 sepasang.

TOKOH OKU

"Gerai musim perayaan, saya akan mengambil ruang di Subang Parade untuk menjual kain-kain batik sutera saya dan alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat baik," katanya.

Tengku Arman yang mendirikan rumahtangga dengan Azizah sejak tiga tahun lepas dan belum dikurniakan cahaya mata, berkata beliau sering berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk menghantar kain-kain batik sutera yang dihasilkannya.

Katanya, beliau berhasrat untuk memperluaskan lagi perniagaannya dan bercita-cita untuk membuka sebuah kedai di sini, tidak lama lagi.

Kesungguhan Tengku Arman dalam industri itu mendapat pengiktirafan dan beliau merupakan Presiden Persatuan Kebajikan Orang Cacat Pendengaran Terengganu (PKOCPT) yang pertama sejak ia ditubuhkan pada 2001.

PKOCPT mencapai kegemilangan di bawah kepimpinan Tengku Arman apabila diiktiraf sebagai persatuan OKU terbaik Terengganu sempena Hari Orang Kurang Upaya peringkat negeri anjuran JKM pada 2003.

Kebolehan dan pencapaian Tengku Arman itu juga telah melayakkan beliau menerima pengiktirafan termasuk sebagai Tokoh OKU Bahagian Ekonomi pada 2007 dan Tokoh OKU Keseluruhan pada 2005.

Petikan:-- BERNAMA

Noor Arfa Batik tempa kejayaan

pareos 5
Pengasas Noor Arfa Batik, Wan Mohamed Ariffin Wan Long berjinak dengan batik semasa menjadi pembantu makmal di Kraftangan Malaysia pada tahun 1970an.

Dengan sedikit pengalaman dan dikuatkan dengan minatnya yang mendalam di bidang perniagaan, Wan Mohamed Ariffin, 50, meletak jawatan untuk menceburi perniagaan batik bertapak di Kuala Terengganu, negeri yang mengasaskan industri batik negara, untuk membina Noor Arfa Batik Sdn Bhd.
“Di sana (Kraftangan Malaysia) saya telah mempelajari selok belok membuat batik dan dalam tahun 1980 saya memulakan perniagaan batik di Kuala Terengganu,” katanya.

Beliau memulakannya secara kecil-kecilan di rumah dengan bermodalkan simpanan RM1,000 dan pinjaman Mara sebanyak RM5,000 bersama isterinya, Noor Hijerah Hanafiah.

Selepas 26 tahun, tuanpunya syarikat Noor Arfa Batik itu kini mempunyai sebuah kilang batik di Kawasan Perindustrian Cenderiang, Terengganu dengan 200 orang pekerja, mengeluarkan 150 produk batik.

“Batik berasal dari Terengganu, jadi adalah lebih mudah sekiranya industri kami bermula dari sana. Selain daripada mempunyai ramai tenaga kerja yang mahir, barang-barang untuk membuat batik seperti kain dan pencelup juga banyak dan lebih mudah diperolehi di sana,” katanya.

Noor Arfa Batik kini mempunyai enam cawangan di seluruh negara iaitu dua di Kuala Lumpur, dua di Terengganu, masing-masing satu di Selangor dan Kedah.

Keunikan batik Noor Arfa ialah dari segi corak, rekaan dan pembuatannya terutama batik lukisan tangan yang menggunakan canting.

“Kami banyak menggunakan pelukis tempatan yang boleh melukis secara terus ke atas kain, dan ini memberikan identiti tersendiri kepada keluaran batik itu,” katanya.

Keluaran batik Noor Arfa bukan sahaja diminati orang ramai dan pelancong, dengan rekaan corak terbarunya sering mendapat perhatian media fesyen, tetapi turut menjadi tumpuan selebriti tempatan seperti Siti Nurhaliza dan Erra Fazira, katanya.

Produk Noor Arfa batik ialah dalam bentuk lukisan tangan dan cetakan yang menghasilkan kain fabrik, pakaian lelaki dan perempuan serta cenderamata.

Wan Mohamed Ariffin bangga keyakinannya terhadap perusahaan batik ternyata tidak silap sehingga kekal berjaya hingga kini dan ditambah pula dengan keluaran batik kembali popular dan diiktiraf negara.

Malah dengan perkembagan teknologi, sejak 10 tahun lepas syarikat itu menggunakan laman webnya, www.noor-arfa.com untuk mengembangkan pasaran ke luar negara, katanya.

Atas daya usahanya, Wan Mohamed Ariffin semalam dipilih sebagai pemenang pertama dua anugerah Mara — Anugerah Usahawan Cemerlang dan Anugerah Usahawan Berjaya.

Sumber: Kisah Wan Mohamed Ariffin dan Noor Arfa Batik di http:MECD.gov.my